
PETALING JAYA: Layanan keutamaan kepada Tesla disifatkan langkah baik membawa pelaburan berkualiti masuk ke Malaysia, kata dua ahli ekonomi.
Geoffrey Williams berpandangan langkah itu pragmatik, manakala Shankaran Nambiar pula melihat penekanan terhadap kecekapan berbanding penstrukturan semula sosial.
Pandangan mereka bertentangan dengan kritikan beberapa pihak terhadap kerajaan susulan pengumuman bahawa pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu tidak memenuhi syarat tempatan apabila menubuhkan ibu pejabat wilayahnya, termasuk pusat jualan dan perkhidmatan di Malaysia.
Lazimnya, pembuat kereta asing perlu melantik rakan tempatan bagi pengedaran kenderaan di Malaysia dan sebarang usaha niaga asing memerlukan sekurang-kurangnya 30% penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagaimanapun, Tesla diberikan pengecualian daripada syarat berkenaan.
Syarikat berkaitan, SpaceX, juga diberi pengecualian daripada memenuhi syarat pemilikan ekuiti tempatan 51% bagi sistem Starlink di negara ini. Minggu lalu, Tesla mula mengambil tempahan bagi Model 3, kurang dua bulan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan syarikat itu menubuhkan ibu pejabatnya di Selangor.
Williams dari Malaysia University of Science and Technology, berkata tawaran kepada Tesla membawa manfaat ekonomi kepada negara ini.
“Perjanjian bersama Tesla merupakan apa Malaysia perlukan untuk membangunkan ekonominya,” katanya kepada FMT Business.
“Sekatan semasa berkait pelaburan langsung asing adalah berunsur perlindungan, manipulasi dasar, dan rasuah. Ia menjejaskan persekitaran pelaburan. Menarik sekatan tersebut lebih baik dan memberi lebihan kepada lebih banyak lagi pilihan,” katanya.
Katanya, syarat ekuiti Bumiputera tidak memberi makna jika 30% dipegang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana syarikat itu adalah entiti dimiliki semula rakyat Malaysia, bukan terhad kepada kumpulan tertentu sahaja.
Dalam pada itu, Nambiar dari Institut Kajian Ekonomi Malaysia, berkata langkah kerajaan berganjak dari syarat asal dilihat permulaan kecekapan dan pulangan pelaburan berbanding struktur sosial.
“Perjanjian bersama Tesla boleh menjadi antara langkah pertama perdana menteri penstrukturan semula keutamaan negara, memformulasikan semula agenda kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran Tesla berkemungkinan membawa penubuhan kemudahan pembuatan bateri, pemindahan teknologi, dan kewujudan ekosistem EV.