
PETALING JAYA: Kumpulan restoran India Muslim tidak akan menaikkan harga menu mereka secara rambang susulan peningkatan harga beras putih import.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan turut memberi jaminan kualiti serta saiz hidangan di premis membabitkan 12,000 ahlinya akan kekal seperti sebelum ini.
Menurutnya, restoran mereka bergantung kepada beras import sebanyak 80% memandangkan bekalan tempatan tidak mencukupi, namun Jawahar menekankan tindakan menaikkan harga mungkin menjadi “pilihan terakhir”.
“Jika margin untung 10%, peningkatan harga beras import mungkin menyebabkan ia menurun kepada 8%. Tapi, kita tidaklah rugi,” katanya kepada FMT yang turut menjelaskan Presma menerima
penjelasan daripada Bernas berhubung pelarasan semula harga.
Pada Jumaat, Bernas mengumumkan harga beras putih import naik kepada RM3,200 daripada RM2,350 satu tan.
Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin, berkata peningkatan harga itu akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah memandangkan 98% beras import dijual di pasaran dalam tempoh tiga bulan.
Berdasarkan kiraannya, mengambil kira pasaraya menjual 1,000 paket beras 10kg setiap hari, peningkatan harga dalam lingkungan RM7 atau 22% bagi setiap 10kg.
“Jadi, kalau keluarga berlima makan dua kali sehari, perbelanjaan bulanan (membeli beras) meningkat kepada RM21,” katanya.
Beliau berkata, ada risiko segelintir pemborong atau peruncit menyimpan beras putih dan cuba mengeksploitasi peningkatan harga dengan menjual stok lama pada kadar harga baharu.
Ameer menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengambil tindakan tegas terhadap peruncit tidak bertanggungjawab.