
PETALING JAYA: Sehingga sekarang Siti (bukan nama sebenar) dan rakan-rakan masih tidak memahami mengapa guru KAFA dipindahkan ke sekolah lain, dalam keadaan tergesa-gesa.
Biarpun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah menjelaskan pertukaran guru KAFA di Sabak Bernam dan Kuala Selangor dilakukan berikutan kekosongan, Siti dan rakan-rakan masih mengharapkan keputusan itu dikaji semula.
Tegas Siti, mereka akur jika diminta berpindah pada bila-bila masa namun mesti munasabah dan bersifat adil untuk semua, sebaiknya selepas habis sesi persekolahan untuk tahun ini.
Dakwanya, arahan hanya diberi dalam satu hingga dua minggu sedangkan mereka perlu menyiapkan tugas lain seperti menyemak kertas peperiksaan untuk pentaksiran bilik darjah serta melalui pemantauan bersepadu Jais.
“PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama) pun lagi dua minggu, UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA) pula bulan depan,” kata Siti kepada FMT yang turut mendakwa perbelanjaan untuk bertugas di sekolah baharu sejak beberapa hari lepas meningkat.
Menurutnya, dahulu dia berbelanja RM100 seminggu untuk ke sekolah namun kini meningkat tiga kali ganda kerana perlu membayar tol RM10 sehari.
“Gaji kami RM1,500 sahaja sebulan, Potong KWSP, Socso, kalau ada potongan pinjaman, lagi sikit tinggal.
“Kalau nak pindahkan kami, naikkan gaji kami dan beri status guru tetap,” kata ibu tunggal tiga anak yang mendakwa tidak menikmati elaun perjalanan kerana bukan termasuk kategori guru bergred.
Nasib sama turut dilalui Hasnah yang perlu mengeluarkan belanja tambahan bertugas di sekolah lebih jauh daripada rumah, antaranya membayar kos menempatkan anak di rumah transit dan tambang bas.
“Saya rasa macam nak berhenti sebab rasa duit mengalir begitu sahaja di atas jalan…banyak komitmen nak kena bayar,” katanya yang mahu arahan perpindahan itu dikaji semula.
Jais sebelum ini mengumumkan pemindahan 45 guru dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor; 50 guru dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 orang lagi akan ke Gombak mengambil kira faktor logistik.
FMT telah menghubungi Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad untuk mendapat maklum balas.