
PETALING JAYA: Seorang pemilik bengkel motosikal di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang, mengalami kerugian hampir RM300,000 selepas dua unit premis yang diusahakannya musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, lapan unit premis dua tingkat membabitkan empat bengkel motosikal, tiga rumah kosong dan satu kedai makan musnah.
Pemilik bengkel Ernie Yeoh Ean Keat, 31, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaiki motosikal pelanggannya, dan hanya menyedari premisnya disambar api apabila terdengar suara jeritan meminta orang ramai menyelamatkan diri.
“Saya keluar dari kedai dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk dokumen penting,” katanya, lapor Buletin TV3.
Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM300,000 membabitkan kemusnahan kira-kira 12 motosikal pelanggan dan alat ganti.
Ketua Zon 1 Bomba Pulau Pinang Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.04 malam, dan seramai 61 pegawai dan anggota dari tujuh balai dikerah ke lokasi.
Sebaik pasukan bomba tiba, katanya, didapati api sedang marak membakar lapan unit premis berkenaan.
Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan kedai di bahagian belakang premis berkenaan dan api dapat dikawal sepenuhnya pada 10.40 malam.
“Kita menghadapi beberapa kesukaran antaranya ialah kesesakan lalu lintas bagi ke tempat kejadian,” kata Jamil.
“Premis terbabit juga terletak berhampiran jalan besar, jadi kita terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah bagi keselamatan dan memudahkan operasi pemadaman.”