
CYBERJAYA: Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata masih terlalu awal untuk menilai reformasi yang diperjuangkan parti itu sudah “mati” kerana kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih baharu.
Chang yang juga menteri tenaga, sains, teknologi dan inovasi berkata rakyat perlu beri masa kepada kerajaan kerana banyak lagi agenda reformasi yang belum dilaksanakan.
“Kerajaan ini masih muda. Jadi ada yang belum dilaksanakan (yang dijanji dalam reformasi).
“Beri masa dulu. Lepas tamat satu penggal baru boleh boleh menilai,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup Cyberview Innoex 2023 di Rekascape.
Chang mengulas kenyataan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa reformasi telah mati selepas Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas daripada tuduhan rasuah.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.
Apabila ditanya adakah pembebasan Zahid yang juga timbalan perdana menteri itu akan mempengaruhi pengundi Cina dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram hari ini, Chang berkata, ia hanya akan diketahui selepas pengundian selesai.
“Hari ini kita akan tahu,” katanya ringkas.