
PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih menggesa agar pindaan penting dibuat pada Perlembagaan Persekutuan bagi menangani isu-isu berpanjangan mengenai “malapportionment” (salah pembahagian) dan “gerrymandering” (penentuan sempadan) yang menjejaskan komposisi Dewan Rakyat.
“Malapportionment” merujuk kepada penciptaan kawasan pilihan raya dengan perbezaan yang besar dalam nisbah pengundi kepada wakil rakyat, manakala “gerrymandering” melibatkan manipulasi sempadan pilihan raya.
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, Perenggan 2(c) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.
Kali terakhir disemak pada 1973, perenggan itu menyatakan: “Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.”
Fann berkata, Bersih percaya perkara itu boleh ditangani dengan mentakrifkan istilah “lebih kurang sama banyak” dalam perenggan itu.
“Kami mengesyorkan agar takrifan ‘lebih kurang sama banyak’ kembali kepada teks asal Perlembagaan pada 1957, iaitu lebih kurang 15% daripada purata negeri untuk menyelesaikan masalah ‘malapportionment’,” kata Fann kepada FMT.
Berhubung “gerrymandering”, beliau mencadangkan pindaan kepada takrif “pemeliharaan hubungan tempatan” dalam Perenggan 2(d) dengan menyelaraskannya dengan sempadan pihak berkuasa tempatan.
“Bagi masalah ‘gerrymandering’, hubungan tempatan mesti bermaksud kawasan-kawasan persekutuan tidak patut mempunyai lebih daripada dua pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan menentukan semula sempadan pilihan raya pada 2026.
Malaysia kini sedang bergelut dengan ketidakseimbangan yang ketara dalam bilangan pengundi di kawasan-kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri, menyebabkan beberapa kawasan mempunyai tiga kali lebih ramai pengundi.
Perbezaan ini menyebabkan perwakilan yang tidak mencukupi di kawasan tertentu, menjejaskan pengaruh pilihan raya.
Sebagai contoh, kawasan Parlimen Bangi yang dikira bandar di Selangor mempunyai bilangan pengundi tertinggi (311,469), manakala jumlah pengundi di tiga kawasan luar bandar di negeri yang sama – Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjung Karang – jika digabungkan hanya 178,185 orang.
Sementara itu, Pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko mencadangkan penyelesaian pragmatik bagi masalah itu. Beliau mencadangkan agar bilangan kerusi di kawasan berpenduduk padat ditambah dan perwakilan di kawasan kurang penduduk dikurangkan.
“Dengan mengandaikan bahawa bilangan kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri kekal sama, SPR boleh menyusun bilangan kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri itu sendiri.
“Jika SPR berpendapat bahawa perlu ada lebih banyak kawasan di Lembah Klang, Seberang Perai, Lembah Kinta atau Greater Johor Bahru, ia akan dapat mencadangkan lebih banyak kerusi dengan mengorbankan kerusi yang lebih kecil masing-masing di bahagian utara Selangor, bahagian luar bandar Pulau Pinang, Perak atau bahagian timur Johor,” kata Danesh.
Katanya, objektif utama mana-mana pelaksanaan persempadanan semula mestilah untuk memastikan prinsip berhubung sempadan pilihan raya yang digariskan dalam Jadual ke-13 Perlembagaan dipatuhi, dengan tumpuan khusus diberikan untuk mencapai pengagihan pengundi yang saksama di seluruh negeri.