
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menafikan khabar angin kononnya Muhyiddin Yassin akan berundur sebagai presiden dan jawatan nombor satu itu akan digantikan oleh Hamzah Zainudin dalam pemilihan parti akan datang.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, tiada sebab untuk Muhyiddin tidak mempertahankan jawatannya kerana kedudukan Bersatu berjalan dengan baik dibawah kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu termasuk prestasi membanggakan dalam PRU15 dan PRN enam negeri sebelum ini.
“Isu tidak mempertahankan jawatan presiden tidak ada, Muhyiddin nak berundur juga tak berbangkit, malah tiada ucapan dari sesiapa dari beliau atau dari Hamzah sendiri kata ada pertukaran pucuk pimpinan.
“Ia cuma direka pihak lain untuk mencetus spekulasi,” katanya kepada FMT.
Razali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sehingga kini tidak membincangkan isu peralihan pucuk pimpinan khususnya selepas PRU15.
Pada Mei lalu, Bersatu menangguhkan pemilihan MPT dan bahagian hingga 18 bulan bagi memberi ruang menghadapi PRN.
“Memang Bersatu akan adakan pemilihan pada tahun ini atau tahun hadapan tapi langsung kita tak ada perbincangan lagi.
“Prestasi Bersatu kini baik, jadi tak ada keperluan tukar pucuk pimpinan. Bukan soal Muhyiddin sahaja tapi keseluruhan anggota pimpinan parti yang bekerja dengan baik sehingga parti mendapat sokongan dari rakyat seluruh negara,” katanya.
Pada Rabu lalu, FMT melaporkan Hamzah dijangka antara calon utama disebut-disebut mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Menurut sumber parti, Muhyiddin kemungkinan akan berundur daripada bertanding sebarang jawatan, tambahan hasratnya itu sudah lama dimaklumkan kepada kepimpinan parti.