
JOHOR BAHRU: Bilangan pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada PRK Parlimen Pulai agak rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.
Menurut SPR, setakat 2 petang peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang jeram, masing-masing 33% dan 44%.
Abdul Ghani berkata proses pengundian di kedua-dua PRK itu berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan berharap sasaran lebih 70% keluar mengundi tercapai.
“Setakat ini, kita lihat kebanyakan pengundi yang keluar mengundi adalah di saluran satu, dua dan tiga pada pagi ini. Mungkin, orang muda ambil masa sedikit dengan mengundi pada sebelah petang nanti,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di SMK Taman Bukit Indah.
Abdul Ghani turut menyeru pengundi yang layak agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka, memandangkan keadaan cuaca terutama di Pulai bertambah baik dengan mendung selepas hujan lebat sekitar 9.30 pagi tadi.
Terdahulu tinjauan Bernama mendapati, biarpun hujan lebat di beberapa kawasan di Parlimen Pulai termasuk pusat mengundi SMK Taman Bukit Indah, namun pengundi tetap keluar melaksanakan tanggungjawab mereka.
Seramai 205,810 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hari ini, dengan 165,509 pemilih merupakan mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi.
Terdapat sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula sebanyak 14 pusat mengundi dengan 68 saluran.