
PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya faktor kurang yakin memenangi Parlimen Pulai mendorong penyokong Perikatan Nasional (PN) tidak keluar mengundi pada PRK hari ini.
Sentimen itu memberi kesan kepada peratusan mengundi rendah di mana setakat 4 petang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan hanya 42% daripada 165,509 pengundi Parlimen Pulai menunaikan tanggungjawab manakala 56% daripada 40,301 di DUN Simpang Jeram.
SPR tidak akan mengemas kini peratusan mengundi untuk jam seterusnya dan hanya mengumumkannya pada malam ini.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penyokong PN tidak “ghairah” menawan Pulai berdasarkan majoriti besar dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 yang kemungkinan bertambah kali ini dengan sokongan Barisan Nasional (BN).

“Bagi Pulai jelas kerana gabungan PH dan BN dikatakan agak kuat (berbanding PRU15), jadi sebab itu yang mahu merampas kerusi berkenaan iaitu penyokong PN merasa gusar tidak ada faedahnya keluar mengundi kerana majoriti yang dulu pun dah besar.
“Tambah (undi) BN akan menjadi lebih besar,” katanya kepada FMT, yang percaya Parlimen Pulai kekal menjadi milik PH menerusi Suhaizan Kayat.
Di DUN Simpang Jeram, Azmi berkata, jika peratusan mengundi kekal rendah iaitu kurang 70% disasar SPR, PN mempunyai harapan untuk merampasnya dari PH berdasarkan faktor komposisi pengundi Melayu yang agak besar di kerusi berkenaan iaitu 51.87%, diikuti Cina (44.58%) dan India (2.53%).
“Majoriti yang dimenangi Amanah di Simpang Jeram agak rendah (pada PRN Johor 2022)…ini menunjukkan ada harapan bagi calon PAS,” katanya.
Pada PRU15, Parlimen Pulai dimenangi Salahuddin Ayub dari Amanah dengan majoriti 33,174 undi manakala di Simpang Jeram majoriti 2,399 undi pada PRN Johor.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berpendapat isu Presiden Umno Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berisiko menjadi penyebab penyokong PH tidak keluar mengundi.
“Bagi penyokong PH, isu pengguguran kes Zahid memberi kesan langsung kepada mereka. Ini antara faktor yang menyumbang rendahnya kadar peratus keluar mengundi dalam dua PRK ini,” katanya yang meramalkan bakal berlaku perpindahan undi dari penyokong BN kepada PN seperti PRN bulan lalu.
Azmi dan Hisommudin percaya sasaran peratusan keluar mengundi oleh SPR sebanyak 70% sukar dicapai sekiranya trend keluar mengundi kekal perlahan sehingga jam 6 petang ini.
“Sukar untuk capai sasaran SPR kemungkinan paling tinggi pun 65%,” kata Azmi.