
PETALING JAYA: Kerajaan PAS Kelantan diminta memberi penjelasan berhubung penganjuran konsert Karnival Jom Heboh (KJH) di Tunjong, Kota Bharu, semalam, yang didakwa bercampur tempat duduk lelaki dan wanita.
Ketua Wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat, berkata dalam kenyataan media exco negeri Mohd Asri Mat Daud, sehari sebelum acara berlangsung, karnival itu akan dipastikan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 dan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
“Namun berdasarkan kumpulan foto dan video tular berkenaan suasana di malam penganjuran konsert, jelas terpampar percampuran tempat duduk antara lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang melanggar garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.
“Wanita PKR Kelantan turut prihatin tentang penatacahayaan kawasan penonton yang malap yang boleh mempengaruhi kebarangkalian untuk berlaku perkara tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya juga terkilan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, yang menyatakan KJH akan melakukan pengasingan penonton.
Nor Azmiza berkata, kenyataan itu jelas kontradik dengan apa berlaku ketika konsert berkenaan pengasingan penonton.
“Sehubungan itu, kami memohon kerajaan negeri memberi penjelasan tentang penguatkuasaan enakmen berikut semasa konsert berlangsung,” katanya.
Tahun lalu, penganjuran Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung di negeri itu turut mengundang kontroversi kerana disifatkan bertentangan dasar Membangun Bersama Islam dibawa kerajaan negeri pimpinan PAS.