
ALOR SETAR: Polis menumpaskan lima kumpulan sindiket penyeludupan migran yang aktif di negeri ini dengan penahanan 12 ejen sindiket warga tempatan dan Myanmar menerusi Op Pintas.
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata operasi pada 15 Ogos hingga 7 Sept lepas itu turut menahan 47 migran warga Myanmar berusia antara 15 hingga 50 tahun.
Mereka diseludup masuk melalui jalan laut dan darat di sekitar Langkawi dan Kubang Pasu, tambahnya.
“Kesemua kumpulan sindiket ini tidak berkaitan, bagaimanapun modus operandi mereka sama iaitu dengan menyeludup migran masuk ke negara ini melalui jalan laut dan darat serta mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangon, Myanmar.
“Kesemua migran ini telah dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi di negara ini dan mereka perlu membuat pembayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang kepada ejen sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Fisol berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah bagi berbincang dan memaklumkan berhubung pembolosan masuk migran di kawasan pagar sempadan negara.
“Tindakan perlu diambil segera di sempadan berpagar, begitu juga sempadan laut dan seperti sedia maklum, Langkawi merupakan tempat transit,” katanya.
“Apabila mendarat di Langkawi itu sudah dikira berada dalam kawasan domestik, jadi mereka boleh ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis tanpa memerlukan sebarang dokumen.”
Dalam perkembangan sama, Fisol berkata, pihaknya berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan minyak diesel di sekitar kawasan sempadan Kubang Pasu dalam operasi bermula 31 Ogos hingga 8 Sept lepas.
“Sepanjang tempoh itu, polis berjaya merampas 7,950 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah lebih RM17,000 daripada diseludup keluar ke negara jiran.
“Turut ditahan, tujuh lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 50 tahun,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.