
PETALING JAYA: Polis dijangka menerima 7,000 unit kamera badan awal tahun depan, dengan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) diutamakan.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua unit itu diberi keutamaan bagi perolehan fasa pertama disebabkan beberapa isu perlu ditangani, khasnya soal integriti.
“Kalau sudah ada kamera itu, insya-Allah saya rasa isu-isu integriti ini akan dapat kita kurangkan dan kita yakin kalau ada tohmahan dan sebagainya pun, kita boleh rujuk balik rakaman kamera badan.
“Kalau diikutkan memang banyak lagi (kamera badan) yang kita perlukan, namun yang menjadi fokus sekarang adalah dua unit terbabit,” katanya menurut Harian Metro, selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 di Pangkalan Latihan PGU di Ipoh.
Beliau berkata, perolehan itu membabitkan peruntukan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 Kedua, yang turut merangkumi sistem, peralatan sokongan, dan latihan.
Sementara itu, Komander PGU Noor Sham Md Jani berkata pasukannya dalam usaha menggantikan helikopter dan pesawat lebih 30 tahun kepada pesawat baharu lebih canggih dan moden seiring keperluan semasa.
Katanya, PGU turut memohon perolehan simulator pesawat penuh bagi kegunaan latihan lebih komprehensif dan berkesan buat juruterbang.