
PETALING JAYA: Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Idrus Harun akan berdepan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (JKPK) untuk memberi penjelasan lanjut berhubung Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas (DNAA) daripada 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi.
Pengerusi JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong mengesahkan perkara itu di Dewan Rakyat di sebalik desakan Ahli Parlimen Arau usul berhubung DNAA Zahid dibawa ke Parlimen.
“Saya selaku pengerusi jawatankuasa telah keluar kenyataan bahawa jawatankuasa kita akan mengeluarkan prosiding kita akan panggil kedua-dua peguam negara (Terrirudin dan bekas peguam negara, Idrus) untuk prosiding berikan penjelasan.
“Dan kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya Ahli Parlimen Selayang itu di Dewan Rakyat.
Terdahulu, timbul perang mulut antara Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang juga ahli jawatankuasa Parlimen itu yang mendakwa Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang juga ahlinya, sengaja membangkitkan isu itu dalam Dewan Rakyat.
“…kita sudah bersetuju dan membuat keputusan kita akan panggil peguam negara untuk memberi penerangan tentang kes DNAA dan Arau sendiri adalah salah satu ahli jawatankuasa pilihan khas tersebut.
“Dia tahu kita akan panggil peguam negara untuk memberikan penerangan dan prosiding akan dijalankan tetapi dia masih nak bangkit isu ini dalam Parlimen,” katanya sambil dicelah Shahidan: “Saya tak tau, saya tak tau.”
Mahkamah pada 4 Sept, melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.
Dalam pada itu, jawatankuasa itu dalam kenyataan, berkata turut dipanggil pada prosiding berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan pasukan peguam Zahid.
Turut dipanggil, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud.
Menurut kenyataan berkenaan, prosiding dipanggil kerana melibatkan kes berprofil tinggi seperti pembatalan notis rayuan oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes pindaan laporan audit 1MDB; pembatalan pertuduhan Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009; selain kes DNAA Zahid.
“Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, bahkan ia perlu dilihat telah dilaksanakan. Ianya harus dilihat dilaksanakan agar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang tidak dipersoal oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.