
PETALING JAYA: Sebanyak 16% atau 1,559 daripada 9,704 kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa lelaki manakala bakinya wanita.
Statistik itu direkodkan Pusat Perkhidmatan Krisis Bersepadu (OSCC) di bawah Kementerian Kesihatan.
Pegawai Pusat Kecemerlangan KKM, Kasturi Bai berkata, seramai 5,361 wanita berbanding 1,327 lelaki berdepan penderaan fizikal, manakala seksual (2,671 wanita dan 197 lelaki) serta psikologi (113 wanita dan 35 lelaki).
“Dari segi penderaan fizikal, wanita akan mencederakan lelaki dengan alat tajam seperti gunting sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
“Psikologi pula melibatkan kewangan, apabila isteri tak puas hati mengenai nafkah tidak mencukupi yang mencetuskan pertengkaran hingga melibatkan campur tangan orang ketiga.
“Kita dapati kebanyakan kes dera melibatkan lelaki berlaku pada musim perayaan,” katanya menurut Sinar Harian dalam program Sinar Live bertajuk Trauma Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga.
Menurutnya, wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga mempunyai 16 kali kebarangkalian berdepan penderitaan dari segi fizikal dan emosi.
Beliau menggesa mangsa keganasan rumah tangga, tidak kira wanita atau lelaki supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada diri dan keluarga, khasnya anak.
“Jika dibiarkan berlarutan, seseorang itu mungkin mengalami kemurungan yang akan mendorong kepada bunuh diri dan sakit mental. Kanak-kanak pula meninggalkan memori buruk dan menimbulkan sifat marah serta dendam yang mungkin membawa kepada kelakuan ganas.”