
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Lim Ban Hong, Tan Teik Cheng dan Ti Lian Ker akan bertanding mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti peringkat pusat pada 24 Sept ini.
Mereka akan berdepan dengan empat calon lain iaitu Ketua Wanita Sabah Pamela Yong; Timbalan Bendahari Agung Lawrence Low Ah Kiong; ahli Jawatankuasa Pusat Wee Jeck Seng dan Ketua Pemuda Kebangsaan Nicole Wong untuk merebut empat kerusi naib presiden.
Sementara itu, 25 kerusi ditawarkan untuk ahli Jawatankuasa Pusat yang menjadi rebutan 48 calon.
Terdahulu, Wee Ka Siong menerusi kenyataan di Facebook berkata beliau akan bertanding dengan bekas ahli Jawatankuasa Pusat MCA Tan Chong Seng bagi merebut jawatan presiden.
Katanya, proses penamaan calon bagi Jawatankuasa Pusat MCA 2023 berjalan dengan lancar semalam, menyaksikan gelanggang bagi merebut kesemua jawatan di peringkat pusat dan sayap Pemuda serta Wanita kini dibuka.
Pemilihan untuk peringkat sayap Pemuda dan Wanita akan dijalankan pada 23 Sept.