
KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengesyorkan satu zon kewangan khas diwujudkan di Pulau Pinang sama seperti yang diumumkan di Forest City, Johor baru-baru ini, sejajar dengan status negeri berkenaan sebagai hab industri pembuatan.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata ia akan memacu pembangunan dan merancakkan lagi sektor pembuatan, bukan sahaja di zon utara malah di seluruh negara.
“Kalau boleh (zon kewangan) satu untuk selatan dan satu untuk utara,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi 2023-2025 di Dewan Rakyat.
Pada 25 Ogos, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Forest City, projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor sebagai zon kewangan khas bagi meningkatkan pelaburan asing.
Pengerusi DAP itu turut mencadangkan pembinaan projek lebuhraya di Pulau Pinang dikenali sebagai Pan Island Link 1, sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di negeri itu.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan perjanjian penjualan air Sungai Perak dimeterai antara Pulau Pinang dan Perak bagi menjamin permintaan dan keperluan air menjelang 2030.
Lim turut mencadangkan median upah bulanan dinaikkan kepada RM4,510 menjelang 2030 dengan gaji minimum ditingkatkan kepada RM2,000. Ketika ini median (penengah) upah bulanan adalah RM2,600 sebulan.
Sebagai usaha menarik pelabur asing dan merancakkan industri korporat, beliau turut mengesyorkan cukai sektor itu dikurangkan kepada 20% berbanding 24% ketika ini.
“Bagi industri kecil dan sederhana (IKS) pula saya cadangkan keuntungan cukai untuk RM1 juta pertama sebanyak 15%,” katanya.
Ketika ini, IKS dengan modal berbayar kurang RM2.5 juta dikenakan cukai 17% sementara syarikat dengan nilai lebih RM2.5 juta dikenakan cukai 24%.