
PETALING JAYA: Kerajaan mewartakan perintah larangan penayangan filem Mentega Terbang di seluruh negara.
Arahan itu dibuat berdasarkan warta bertarikh 1 Sept iaitu di bawah Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 ditandatangani Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos lalu.
Warta itu menyebut menteri melarang penayangan, pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem bertajuk ‘Mentega Terbang’ arahan Khairi Anwar terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.
Mac lalu, polis menyiasat filem itu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
FMT sebelum ini melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan filem arahan itu bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.
Ia susulan tular sedutan babak tertentu dalam filem berkenaan yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapa wanita itu membenarkannya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.
Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.
Filem dibarisi pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee mengisahkan perjalanan seorang remaja mencari jawapan bagaimana kehidupan selepas kematian.