
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan satu suku kaum Orang Asli untuk menangguhkan pembinaan empangan hidroelektrik oleh dua syarikat di Gopeng, Perak dalam pertikaian yang didakwa mereka melibatkan tanah nenek moyang.
Dalam pendengaran secara dalam talian hari ini, tiga panel hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, berpendapat bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf membatalkan injunksi sementara yang sebelum ini diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Panel yang turut dianggotai Hakim Mary Lim dan Abdul Karim Abdul Jalil, juga mengarahkan kos RM50,000 kepada Orang Asli itu.
Pada 23 Mei, Mahkamah Persekutuan membenarkan suku Orang Asli itu untuk merayu, selepas memutuskan bahawa mereka telah memenuhi syarat yang ditetapkan dalam seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa soalan sama ada dalam tindakan pengambilan tanah, Seksyen 18 Akta Relif Khusus 1950 membenarkan pemohon untuk mencari bantuan khusus dan tuntutan alternatif untuk ganti rugi, adalah sesuatu yang memerlukan perbicaraan penuh.
Pada 21 April 2021, Hakim G Bhupindar Singh ketika itu membenarkan injunksi sementara suku Orang Asli itu terhadap Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro R E Sdn Bhd, serta agen mereka sehingga penyelesaian saman.
Bagaimanapun, pada 1 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan perintah tersebut.
Pada 21 April 2021, pesuruhjaya kehakiman pada masa itu, G Bhupindar Singh membenarkan Orang Asli untuk mendapatkan injunksi interlokutori terhadap Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro atau wakil mereka sementara menunggu penyelesaian kes utama.
Bagaimanapun, pada 1 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan injunksi tersebut.
Pada 2018, 22 penempatan Orang Asli dari Ulu Geruntum, Gopeng, mengemukakan saman menamakan dua syarikat swasta, kerajaan Perak, pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Tanah dan Galian Perak, dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Kumpulan itu mahu kerja membina empangan dihentikan kerana ia melanggar hak masyarakat mereka ke atas tanah nenek moyang yang didakwa dibersihkan tanpa kebenaran.
Kumpulan itu terdiri dari suku Semai berasal dari enam kampung di kawasan Ulu Geruntum, iaitu Kampung Sungai Kapor, Kampung Sat, Kampung Ulu Kepayang, Kampung Empang Main, Kampung Poh dan Kampung Ulu Geruntum.
Kedua-dua syarikat memulakan projek di Sungai Geruntum pada 2012.
Kumpulan Orang Asli mendakwa projek itu memusnahkan ladang pokok buah-buahan dan kira-kira 50 kubur nenek moyang tanpa kebenaran suku Semai di Ulu Geruntum.
Mereka mendakwa sumber air juga tercemar.
Peguam Aaron Mathews, Vinu Kamalananthan, Conrad Lopez, Sarah Tiong Wei Shin dan Shahrul Azwan mewakili Orang Asli manakala Goik Kenzin, Ramesh Sivakumar dan Calvin Lim mewakili syarikat itu.