
PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd akan menghubungi semua pemilik Proton X90 menjalani pemeriksaan susulan masalah sambungan pembumian ke badan kenderaan yang dikenal pasti pakar produknya.
“(Masalah) Ini boleh menyebabkan kawasan penyambung menjadi panas apabila arus elektrik tinggi melaluinya secara berterusan, mengakibatkan kesan haba kepada bahan kalis bunyi terletak berdekatan dengannya,” katanya dalam kenyataan di laman sesawangnya.
Sebagai langkah keselamatan, katanya, pembaikan akan dilakukan pusat servis untuk menghapuskan sebarang risiko haba.
Proton berkata, pemilik juga boleh menghubungi pusat servis 3S/4S terdekat untuk membuat tempahan temu janji atau talian bantuan Proton 1 800 88 8398 untuk maklumat lanjut.
Pada masa sama, pengeluar kereta nasional itu turut menafikan insiden Proton X90 terbakar seperti dalam video tular bulan lalu disebabkan bateri hibrid ringan (48v).
“Kami ingin meyakinkan semua orang bahawa kualiti produk dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan syarikat.”
“Proton dan vendornya telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kawalan proses pembekal kami dan pemeriksaan masuk ke atas barisan pengeluaran Proton X90.”