
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) disaran mencungkil objek Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WKTK), seni dan budaya baharu, khasnya objek yang hampir pupus.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata, pihak terlibat perlu bersama-sama mewujudkan suatu pelan yang merangkumi pencungkilan, perlindungan, pembangunan dan promosi, bagi memastikan objek-objek ini dapat dilindungi dan kekal terpelihara serta tidak pupus ditelan zaman.
Selain itu, Tiong turut menyarankan agar semua objek WKTK, seni dan budaya itu diintegrasikan dan didigitalkan dalam satu galeri khas atau “Perkampungan Seni, Budaya dan Warisan Malaysia”, sekali gus menjadikannya produk dan destinasi baharu pelancongan kebudayaan.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Motac hari ini selepas berakhirnya Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara bermula Isnin lepas, di Dewan Canselori Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia.
Persidangan dengan tema “Kelestarian Warisan Kebudayaan Tidak Ketara” itu menampilkan tiga topik utama iaitu “Inventori Berasaskan Komuniti”, ‘Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan Komuniti” dan “Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang Hampir Pupus”.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan persidangan itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk terus melindungi amalan, perwakilan, ekspresi, pengetahuan dan kemahiran WKTK sesuatu komuniti atau kumpulan masyarakat di Malaysia.