
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 46 tahun hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan atas tuduhan membunuh seorang penjawat awam dalam kejadian di Machang awal bulan ini.
Jurutera Harun Narresat Ibrahim didakwa membunuh pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di Kedai Chicken Chop Cikgu dekat Machang, pada 11.30 pagi 3 Sept lepas.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, Harun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan, lapor Berita Harian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun
Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan Muhammad Zaki Abdul Kudos, manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Nov untuk sebutan semula kes dan laporan kimia serta forensik.
Terdahulu dilaporkan seorang penjawat awam maut dalam kejadian pergaduhan di sebuah premis di Jalan Lama Pasir Putih-Machang, di hadapan Hospital Machang.
Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat pendarahan serius di bahagian muka, selain cederaparah di kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri.