
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengadakan pra-pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 hari ini, untuk menyokong promosi produk dan perniagaan tempatan.
Antara inisiatif yang akan digerakkan bagi kempen ini termasuk karnival di serata negara untuk menonjolkan produk Malaysia dan perkhidmatan, serta memudahkan penyertaan perniagaan tempatan ke peruncitan dan platform dalam talian.
Seiring dengan jelajah mempromosikan produk dan perniagaan tempatan, karnival mini akan turut diadakan di beberapa tempat bagi menjalankan promosi dengan tema khas untuk pasaran khusus.
Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan Rohaizi Bahari menyeru rakyat Malaysia bersama-sama menyokong kempen ini, kerana pengguna boleh melihat dan memilih produk tempatan berkualiti yang setanding barangan import.
“Kementerian menjalinkan kerjasama strategik bersama 16 syarikat peruncitan tempatan terkemuka dan juga tiga platform dalam talian.
“Pada masa sama, kami mengalu-alukan syarikat lain yang ingin bekerjasama dengan kami untuk inisiatif mereka,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan majlis pra-pelancaran kempen itu di Sri Pentas, Bandar Utama hari ini.
Menerusi inisiatif strategik ini, kementerian berharap untuk merancakkan pembelian barangan buatan Malaysia bagi menangani cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi.
“Kami berharap rakyat dapat turun beramai-ramai menyokong produk usahawan tempatan dan secara langsung dapat memulihkan kembali ekonomi negara,” kata Rohaizi.
Karnival mini akan berada di Imago Shopping Complex di Kota Kinabalu, Sabah, dari 15 Sept hingga 17; kemudian Aman Central, di Alor Setar, Kedah (21 Sept hingga 23); Paradigm Mall di Johor Bahru, Johor (5 Okt hingga 7); dan Bintang Megamall di Miri, Sarawak (20 Okt hingga 22).
Kemuncak karnival mini akan diadkaan di Putrajaya, pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Rohaizi berkata acara kemuncak amat penting kerana ia berlangsung ketika cuti sekolah pada Disember.