
PETALING JAYA: Aku janji kerajaan perpaduan untuk melaksanakan 100% kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menjadi hadiah paling bermakna buat rakyat Sabah untuk Hari Malaysia.
Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata hal MA63 sudah kerap dibincangkan namun tiada kerajaan mampu memberikan komitmen untuk mengotakan perjanjian tersebut.
“Jangan cakap akan bincang, buat keputusan tahun depan… tapi buat satu pengiktirafan bahawa segala janji dan penubuhan Persekutuan Malaysia antara Sabah dan Sarawak dan Malaya mesti ditunaikan 100%.

“Ertinya, perbincangan selepas itu tertakluk apa yang tak dilaksanakan. Kerajaan perlu buat keputusan. Aku janji tiada penolakan apa sahaja yang telah dipersetujui pada penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya kepada FMT.
Adun Moyog itu berkata kerajaan bertukar ganti namun tiada satu pun mahu menunjukkan komitmen bahawa tidak akan ada perkara dalam MA63 yang tidak akan dilaksanakan.
“Kita belum terdengar sesuatu kerajaan biarpun BN, Pakatan Harapan, kerajaan Langkah Sheraton, kerajaan perpaduan janji pelaksanaan 100% asas penubuhan Persekutuan Malaysia.”
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, Jawatankuasa khas Jemaah Menteri semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjaya mengenalpasti 4 isu yang belum dipersetujui, manakala 17 perkara lain sudah disepakati dan boleh dilaksanakan.
Sehubungan itu tiada alasan munasabah untuk tidak melaksanakan isi kandungan MA63.
“21 isu yang penting telah kita senaraikan dan kita tahu daripada itu 17 kami persetujui ertinya tiada isu dan boleh dilaksanakan hanya empat belum dipersetujui,” katanya.
Antara isu yang belum disepakati ketika itu melibatkan isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah; dan hak negeri ke atas pelantar benua.
“Kekecewaan kita, jawaban jadi standard: ‘apa kamu tahu, kamu buat lontaran berniat jahat sahaja’. Mereka bilang ‘kami sedang buat, runding, laksanakan’. Sepatutnya ditanya kepada perdana menteri setujukah segala tuntutan dan perjanjian yang dijanji pada waktu penubuhan persekutuan Malaysia akan dilaksanakan 100%.
“Kalau buat janji begitu, mesti ada tempoh masa. Jangan macam dulu…’ada bincang, akan buat’… Perdana menteri mesti tegaskan 100% akan tunaikan tapi akan maklum di Parlimen.
“Apa sahaja pra-janji dipersetujui sebelum penubuhan Malaysia patut diselaraskan dan ditunaikan secepat mungkin,” katanya.
Sejak mengambil alih kerajaan Anwar menyuarakan kemahuan menyelesaikan sebahagian tuntutan berkait MA63, dengan antara tindakan terawal adalah pemindahan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah.
Seawal Jan lalu juga, Anwar berjaya menyelesaikan isu agihan perbelanjaan tahunan serta lantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang merupakan perkara utama dalam MA63.
Beliau juga berkata, peruntukan tahunan bernilai RM16 juta untuk Sarawak juga dinaikkan kepada RM300 juta setahun, dengan tertakluk kepada beberapa perincian.