
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu mengingatkan ahli menjauhi amalan takfiri, melabel dan mengkeji sesama insan sempena ulang tahun kelapan penubuhan parti itu hari ini.
Beliau menyeru ahli Amanah membudayakan politik matang, berintegriti dan politik hujah bersandarkan fakta serta kebenaran.
“Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua ahli agar sentiasa menjaga dan mempamerkan akhlak mulia, seperti diajar Rasulullah.
“Ingatlah, kebenaran akan sentiasa berpihak pada pihak yang benar,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, di Facebook.
Mohamad berkata, sejak mula tertubuhnya Amanah sehingga hari ini, banyak ujian dan dugaan ditempuh, namun perjuangan untuk memposisikan parti itu sebagai wadah politik Islam progresif bersifat inklusif serta peduli dengan keluh-kesah rakyat belum selesai.
“Dahulu ada yang kata Amanah ini hanya parti nyamuk, yang riwayatnya takkan lebih dua tahun. Alhamdulillah hari ini, 16 Sept 2023 kita semua bersyukur dan berbangga untuk menyambut ulang tahun kelapan penubuhan Amanah.
“Semangat kita semua tak pernah luntur. Dari setahun ke setahun kita terus istiqamah untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk semua,” katanya.
Beliau menegaskan banyak lagi usaha perlu dibuat untuk mencapai matlamat itu.
Amanah adalah serpihan PAS yang ditubuhkan pada 16 Sept 2015 oleh beberapa pemimpin yang tidak berpuas hati dengan hala tuju parti Islam itu, terutama selepas ia memutuskan untuk meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat ketika itu.
Parti itu kemudian bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk gabungan Pakatan Harapan.