
PETALING JAYA: Sebuah kenderaan peronda dinaiki dua anggota polis terbabas dan terbalik ketika mengelak seekor anjing di KM7.3 Jalan Pintasan Rawang, dekat pusingan U menghala Serendah di Hulu Selangor, semalam.
Difahamkan, dua anggota berpangkat Lans Koperal dan Sarjan yang masing-masing berusia 27 dan 33 tahun itu tidak cedera dalam kejadian 6.15 pagi.
Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata kemalangan itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) model Proton X70 dari IPK Perak.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa dua anggota polis itu menjalankan tugas dari Ipoh, Perak menghala Glenmarie, Shah Alam.
“Setiba di lokasi, pemandu SUV itu dikatakan mengelak seekor anjing menyebabkan kenderaannya terbabas dan terbalik,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah dua anggota polis itu keluar sendiri dari SUV terbabit.