
PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata Malaysia Airlines kembali menyediakan hidangan panas dalam pesawat secara beransur-ansur untuk beberapa sektor.
Katanya, ia selepas syarikat penerbangan negara itu menerima peralatan tambahan untuk penyediaan makanan dalam pesawat.

“Sudah tentu, hidangan ‘signature’ MH iaitu sate juga disediakan untuk kelas perniagaan,” katanya dalam catatan Facebook sambil berkongsi gambar hidangannya ketika menaiki penerbangan ke Kuching untuk menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan meraikan sambutan Hari Malaysia malam ini.
Tetapi, Loke berkata, masih ada kesulitan dihadapi penerbangan lain dan Malaysia Airlines akan berusaha memulihkan keadaan secepat mungkin.
Awal bulan ini, Malaysia Airlines membenarkan penumpang membawa makanan sendiri dalam pesawat untuk laluan terjejas dalam tempoh peralihannya kepada penyedia perkhidmatan katering baharu.
Tetapi, makanan pemanasan sendiri dan tidak halal dilarang sama sekali.
Sebelum ini, Malaysia Airlines memuktamadkan perkongsian lamanya dengan penyedia katering utama, Brahim’s Food Services berpangkalan di Kuala Lumpur dan sedang beralih ke perkhidmatan katering baharu di laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaiannya.