
PETALING JAYA: Seorang pesara kerugian RM500,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Azman Ahmad Sapri berkata lelaki dalam lingkungan 60-an itu berkenalan seorang wanita bernama “Xin Alice Yu” dari Australia melalui satu aplikasi Mac lalu, sebelum berhubung melalui WhatsApp.
Katanya, suspek mempelawa mangsa menyertai pelaburan mata wang digital seperti Bitcoin dan Ethereum.
Beliau berkata, suspek melalui WhatsApp mengajar mangsa mendaftar dan membuka akaun di laman sesawang bagi memulakan pelaburan.
“Sepanjang urusan pelaburan itu, mangsa perlu berhubung dengan khidmat pelanggan di laman sesawang berkenaan sebelum memasukkan wang digital ke akaun diberikan suspek.”
Azman berkata, mangsa melakukan 19 transaksi pemindahan wang yang keseluruhan berjumlah sekitar RM500,000 ke sembilan akaun berbeza dari awal April hingga awal Julai lalu bagi memasukkan wang digital ke akaun pelaburannya,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang dari akaun mata wang digitalnya.
Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan seperti cukai dan pengeluaran. Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.