
PETALING JAYA: Diskaun beras import kepada peniaga antara langkah diambil Bahagian Kawalselia Padi dan Beras untuk mengurangkan beban pengguna.
Ketua pengarahnya, Azman Mahmood berkata, berkata isu kekurangan beras putih tempatan dijangka dapat diatasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Katanya, antara langkah diambil termasuklah menambah bekalan di pasaraya besar.
Bagi mengurangkan kesan peningkatan harga beras import, bahagian bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu bersetuju memberikan 103 lesen borong kepada pemborong kecil.
Menurut Harian Metro, inisiatif itu membolehkan pengusaha makanan bernaung di bawah persatuan perniagaan makanan dapat menikmati harga belian beras putih import (BPI) pada harga borong iaitu RM160 untuk 50kg (harga pintu gudang).
“Kita juga bersetuju beras Basmathi adalah beras istimewa dan tidak tertakluk kepada harga borong BPI. Ia tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan oleh pasaran semasa.
“Dari segi langkah intervensi, kita juga menetapkan bekalan di 41 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta 1,400 outlet Lembaga Pertubuhan Peladang di seluruh negara.
“Perlu difahami, tidak ada isu mengenai bekalan dan kita sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini demi kepentingan semua,” katanya menurut laporan itu.
Azman berkata, pihaknya berharap dengan langkah intervensi menerusi kerjasama antara agensi, orang ramai boleh mendapatkan bekalan beras tempatan di outlet yang ada.