
PETALING JAYA: Sudah 18 tahun Claire Marie Puyang Fabian meninggalkan kampung halaman di Bintulu, Sarawak untuk mencuba nasib di Semenanjung.
Dalam tempoh hampir dua dekad itu, Claire, 39, tidak berasa ‘jauh’ dengan kampung halaman malah mengakui selesa bersama rakan, majikan serta jiran tetangga.
Paling menggembirakan Claire makanan kegemarannya semakin banyak dijual dan mudah didapati di sini, sekaligus mengurangkan rasa rindu pada Sarawak.

“Kita sebagai anak perantau, sebelum ini, bila teringin nak makan laksa Sarawak, mi kolok, kena tunggu balik Sarawak baru boleh makan. Sekarang saya tinggal di Ipoh, Perak rasa seronok… kalau nak makan kami terus pergi kedai beli. Peniaga pula memang orang Sarawak,” katanya kepada FMT.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berbangga apabila makanan tradisi Sarawak semakin dikenali dan menjadi kegemaran masyarakat di Semenanjung seperti kek lapis, tebaloi, celorot, terubuk masin, terung Iban dan banyak lagi.
Claire yang merantau sejak 2005 mencadangkan agar diadakan lebih banyak program seperti festival untuk memperkenalkan lebih banyak makanan serta adat resam dari Sabah dan Sarawak.
“Ramai lagi yang tidak tahu perihal Sabah dan Sarawak. Besar harapan kami untuk kita kurangkan jurang perbezaan pengetahuan berkenaan agama, bangsa, budaya, adat resam dan kita boleh mulakan dengan makanan. Semua orang suka makan.
“Contoh macam tebaloi. Ini apa? Oh ini biskut sagu, ini makanan tradisi orang Melanau. Dari situ kita akan belajar sedikit sebanyak,” cadangnya kepada kerajaan.
FMT juga mendapatkan seorang rakyat Sabah, Paul Nigel Jr Ansin, 36, yang merantau ke Selangor untuk melanjutkan pelajaran sebelum pulang berkhidmat di negerinya.

Ujar Nigel, makanan dari Sabah masih banyak yang belum dibawa ke Semenanjung.
“Tak banyak macam Sarawak tapi adalah beberapa seperti kuih pinjaram, ambuyat, jeruk bambangan (rumpun mangga), jeruk tuhau (rumpun halia), serunding tuhau, latok, linopot, ikan liking kering dan lain-lain,” ujar bapa kepada tiga orang anak itu.
Nigel bersetuju dengan Claire bahawa kerajaan harus menggalakkan lebih ramai rakyat di Semenanjung ke kepulauan Borneo untuk mengenali serta merasai sendiri kelazatan dan keunikan makanan di sana.
“Macam pesta Kaamatan, kerajaan perlu galakkan orang ramai datang, lihat sendiri bagaimana ia dirayakan. Boleh tengok dan cuba makanan yang ada dijual di sana,” katanya.