
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan misi dirancang dan ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.
Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, bagi tujuan itu, Sultan Abdullah menitahkan semua pihak dan agensi berkaitan supaya memberi sokongan padu dan kerjasama bagi memastikan pelan induk untuk memacu transformasi industri pada skala besar itu dilaksanakan dengan lancar serta berkesan.
“Seri Paduka juga mendoakan agar dengan pelaksanaan pelan induk tersebut, Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya maju selain meletakkan negara sebagai kuasa ekonomi serantau,” menurut Istana Negara.
Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Aedreena Reeza Alwi dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Ahmad Akmal Muhamad di Istana Negara.
Pada sesi menghadap bermula 3 petang itu, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat daripada Tengku Zafrul berkenaan NIMP 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 Sept lalu.
NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan di negara ini, ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.