
PETALING JAYA: Fasiliti kesihatan swasta boleh mengambil jururawat asing bermula 1 Okt hingga 30 Sept tahun depan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Zaliha berkata, jururawat berkenaan perlu menduduki Peperiksaan Kelayakan Jururawat Terlatih Asing Lembaga Jururawat Malaysia, selain mematuhi terma dan syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.
Ia termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak, katanya.
“Pengambilan JTWA (Jururawat Terlatih Warga Asing) sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Okt 2023 sehingga 30 Sept 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA. Perkara ini akan dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.
“Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40% daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, keputusan itu disambut baik industri perubatan swasta kerana membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka melalui jalinan kerjasama awam-swasta.
Beliau berkata, pihak kementerian menjangkakan langkah itu akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Namun demikian, KKM prihatin dan tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh rakyat.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.”
Zaliha berkata, langkah berkenaan akan mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang kerja jururawat tempatan terpelihara.