
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan bahawa Zahid Hamidi didakwa atas tuduhan rasuah selepas presiden Umno itu enggan memenuhi tuntutannya untuk membubarkan parti.
Bekas perdana menteri mempersoalkan sikap berdiam diri anggota Jemaah Menterinya ketika itu dan pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk pengerusi gabungan tersebut Anwar Ibrahim, selepas Zahid didakwa.
“Jika saya telah salah guna kuasa, kenapa tidak seorang pun menteri-menteri Kabinet atau pemimpin-pemimpin parti Pakatan Harapan, termasuk Anwar, mempersoal Zahid dihadapkan ke mahkamah.
“Ramai menteri-menteri di dalam Kabinet saya adalah daripada PH dan PKR, termasuk juga isteri Anwar yang menjadi timbalan perdana menteri,” katanya dalam kenyataan, yang merujuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Minggu lalu, Anwar dilaporkan mengulangi dakwaan Zahid bahawa pertuduhan dikenakan terhadapnya (Zahid) selepas beliau menolak tawaran Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk membubarkan Umno.
Anwar dilaporkan berkata demikian ketika mengulas pembebasan bersyarat diberikan kepada Zahid atas 47 pertuduhan rasuahnya.
Mahathir berkata ia agak “lucu” jika menterinya daripada PH takut untuk membangkitkan isu berkenaan pada masa itu kerana mereka sangat lantang ketika menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
“Mungkin mereka lupa, semua mereka menyokong proses undang-undang yang dilakukan terhadap Zahid dan (bekas perdana menteri) Najib (Razak) kerana itu adalah mengikut ‘Rule of Law’ serta bukti kerajaan PH ketika itu berjuang melawan rasuah.”
Mahathir sekali lagi mengakui beliau meminta Zahid membubarkan Umno kerana percaya presiden parti itu menggunakan ia sebagai alat tawar-menawar untuk mengelak daripada diheret ke mahkamah.