
PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai khayal akibat menghidu gam dilaporkan mengamuk dan menyerang kereta polis dengan parang dan pisau pemotong daging, di Kuala Penyu, Beaufort semalam.
Ketua Polis Beaufort, Ismail Abdullah, berkata polis pada mulanya menerima maklumat mengenai seorang lelaki sedang mengamuk pada 12.15 tengah malam.
Katanya, sebaik anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Kuala Penyu dan Unit Kereta Peronda (MPV) berada di lokasi, suspek tiba-tiba keluar dari kawasan semak dan menyerang kenderaan mereka dengan parang sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun suspek berjaya diberkas dan ketika ditahan suspek masih agresif sambil memegang parang dan pisau pemotong daging,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca akibat suspek berada dalam keadaan khayal kerana ketagihan gam.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Sept untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 dan Seksyen 427 kanun sama,” katanya.