
JOHOR BAHRU: Seorang pengurus jualan membawa sebuah makmal patologi ke mahkamah atas dakwaan ujian darah praperkahwinan diambil meletakkan darahnya dalam kumpulan tidak betul, selain menunjukkan penemuan lain juga berkemungkinan salah.
Dalam ujian pada 2018, Tew Chian How, 34, dimaklumkan kumpulan darahnya adalah “O Rh (D) Positif”.
Dia juga diberitahu mempunyai kadar kolesterol dan asid urik tinggi, sekali gus memaksanya mengawal diet dan gaya hidup.
Tew mendakwa perkara itu menyebabkan dirinya dalam kebimbangan, terutama ia merupakan saringan kesihatan pra-perkahwinan.
“Justeru, plaintif terpaksa mengelak makanan tertentu dan terlepas mesyuarat tengah hari dan makan malam bersama pelanggannya. Tambahan pula, dia perlu menjalani rawatan kesihatan dan mengambil ubat dan suplemen untuk mengatasi masalah dibangkit dalam penemuan itu,” menurut kenyataan tuntutan dilihat FMT.
Tahun lalu, Tew membuat keputusan mengambil saringan lain di pusat diagnostik berlainan yang memaparkan kumpulan darahnya adalah “B Rh (D) Positive”, dengan tahap lain menunjukkan ia adalah normal.
“Dia mengulangi ujian itu di pusat berkenaan dan keputusannya masih sama. Ini menunjukkan defendan cuai dalam menjalankan kewajipannya,” kata tuntutan itu difailkan firma guaman Izad Kazran, baru-baru ini.
Tuntutan itu menyatakan makmal tersebut menolak menawarkan apa jua pampasan kepada dirinya kerana dakwaan kerugian walaupun selepas menghantar dua surat tuntutan.
Dalam pembelaannya, pusat diagnostik berkenaan berkata seandainya penemuan kumpulan darah terdapat kesalahan yang mana pusat itu menafikannya, ia tidak sama sekali memberi kesan sampingan, merumit atau menjejaskan pembacaan keputusan ujian darah plaintif dan tahap asid urik dan kolestrol dalam spesimen.
“Pusat ini hanya menyediakan khidmat patologi, klinikal, dan makmal, dan bukannya perniagaan menyediakan sebarang khidmat penjagaan kesihatan atau rawatan perubatan,” kata makmal itu dalam pembelaan difailkan firma gumana Viknesh & Yap.
Katanya, semua kemudahan makmal dan peralatan bersesuaian dan memenuhi keperluan melaksanakan khidmat makmal perubatan, sambil menambah pihaknya mematuhi semua keperluan dan piawaian antarabangsa.
“Pusat ini menawarkan kepada plaintif dengan niat baik untuk menguji kumpulan darahnya percuma sebelum saman dimulakan, namun dia enggan sama sekali,” kata pembelaan itu.
Katanya, tidak wajar membandingkan tahap kolestrol dan asid urik selepas empat setengah tahun antara dua ujian itu dan termasuk juga
penambahbaikan dilakukannya terhadap gaya hidup dengan berhenti merokok dan mengelak mengambil makanan segera dan alkohol.
Katanya, pusat itu berkata berbanding mendakwa mengalami kerugian, penuntut mendapat manfaat dengan kesihatannya bertambah baik.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru menetapkan pengurusan kes pada 9 Okt.