
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen disaran memeriksa pusat sukan sedia ada di kawasan masing-masing untuk dinaik taraf kerana ia tidak melibatkan kos tinggi berbanding mengemukakan permohonan baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut memberi contoh kos penyelenggaraan kompleks atau stadium mini selepas dibina memerlukan RM300,000 setahun.
“Saya berharap semua ahli yang berhormat boleh pergi ‘check’ mengikut kawasan Parlimen apa fasiliti sukan di kawasan masing-masing dan kalau ada infrastruktur yang boleh dinaik taraf dan bukan bina semula boleh hantar permohonan.
“Saya lebih suka mengutamakan kerja naik taraf kerana lebih murah berbanding mencari tapak baru,” katanya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun katanya, sebarang permohonan baharu membina fasiliti sukan hendaklah mengikut syarat ditetapkan Kementerian Ekonomi, selain tanah itu perlu didaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi membolehkan KBS mengangkat pertimbangan tersebut dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ini diguna pakai untuk litar drag atau apa-apa fasiliti yang mahu kerajaan persekutuan bina, kita tak mahu selepas dibina, tanah itu bukan milik kerajaan persekutuan, kita tak boleh akses tempat tersebut.
“Tapak juga mesti bebas daripada bebanan dan sedia untuk dimasuki serta tiada isu tapak tanah projek seperti kawasan setinggan, bantahan penduduk dan lokasi tidak sesuai apabila membuat permohonan projek binaan baru,” katanya.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang memohon menaik taraf Stadium Mini Sungai Tarom.
Sementara itu, Hannah berkata sebarang permohonan menaik taraf pusat sukan dalam kawasan sekolah tidak tertakluk bawah KBS, sebaliknya permohonan boleh dibuat kepada Kementerian Pendidikan (KPM).