
KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) menyuarakan kebimbangan susulan tindakan kerajaan membenarkan Boustead Holdings Bhd (BHB), anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjual separa sahamnya dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) kepada syarikat swasta.
Presiden PVTAM, Shahruddin Omar, meminta kerajaan menjelaskan adakah penjualan itu merupakan jalan terakhir dan terbaik dalam penyelesaian masalah dihadapi.
“Sedangkan terdapat kaedah lain tanpa jual saham. Kita bimbang ia akan memberi kesan jangka panjang kepada LTAT dan kebajikan warga tentera serta veteran tentera.
“Perlu diingat aset Boustead Plantations ini adalah satu kawasan tanah yang luas dalam negara. Tak datang begitu sahaja. Ada nilai kepada kita (tentera),” katanya pada sidang media di Wisma Pahlawan.
Pada 24 Ogos lalu, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan BHB, yang menyaksikan KLK mengambilalih 33% saham Boustead Plantations dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.
Ketika ini, BHB menguasai 57.42% kepentingan dalam Boustead Plantations manakala LTAT memegang 10.59% kepentingan dalam syarikat perladangan itu.
Berdasarkan cadangan pengambilalihan itu, BHB dan LTAT akan memiliki baki kepentingan ekuiti kira-kira 35% dalam Boustead Plantations.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan memberitahu Dewan Rakyat kementeriannya akan berunding dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan memperbaiki aliran tunai BHB.
Menurutnya, rundingan itu bagi mencari cara terbaik untuk memastikan aliran tunai BHB dapat diperbaiki dan boleh membayar dividen yang baik kepada LTAT.
Dalam pada itu, Shahruddin meminta kerajaan berhati-hati dalam penjualan saham tersebut biarpun dilaporkan amat perlu bagi meningkatkan kecairan aset tunai LTAT.
“PVATM merupakan pemegang taruh dalam saham LTAT. Sungguh pun ia dilaporkan amat perlu, namun kita minta kerajaan berhati-hati berhubung penjualan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahruddin berharap kerajaan akan memperkenalkan skim penyelarasan pencen mulai tahun depan memandangkan Pemberian Khas kepada Pesara (PKKP) akan tamat Disember ini.
Jika berdasarkan kadar pencen bulanan diterima pesara tanpa sumber pendapatan lain, katanya, seramai 73,339 atau 93.4% veteran tentera berada dalam kategori B40.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kenaikan pencen tahunan 2% bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, selepas menolak rayuan kerajaan membatalkan keputusan itu.