
PETALING JAYA: Segelintir penduduk Selangor mengeluh sukar mendapatkan beras tempatan sehingga terpaksa beralih kepada beras import dengan menanggung kos lebih tinggi.
Suri rumah hanya mahu dikenali Jora, 47, berkata kekurangan bekalan beras tempatan sekitar kawasan perumahan di Kota Damansara menyebabkannya mencari di tempat lain.
“Asyik dengar menteri cakap kenapa rakyat tidak beli beras tempatan yang harga RM26 sahaja. Nak beli dekat mana? Kedai, pasar raya kecil mahupun besar pun tiada.
“Pasar mini semua saya pergi cari satu-satu,” kata ibu tiga anak itu.
Jora berkata, kebiasaannya dia membeli beras tempatan kampit 10kg untuk kegunaan lima sekeluarga dan habis dalam tempoh tidak lebih sebulan.
“Kalau nak cari beras (import) mahal, benda lain pun nak beli, takkan kita makan nasi sahaja.
“Kerajaan kena buat sesuatu. Kalau benda lain macam ikan atau ayam mahal okay lagi. Tapi kalau beras memang tak boleh sebab hari-hari kita makan nasi,” katanya ketika ditemui FMT di sebuah pasar raya di Kota Damansara.
Hamimah, 40, dari Sungai Buloh, turut merayu kerajaan segera menyelesaikan masalah bekalan beras tempatan.
“Nak makan pun kena catu setiap hari. Nak beli beras tempatan…tak ada, beli beras import memang tak mampu. Melampau harga. Termenung juga bila nak beli beras sekarang,” katanya.
Sementara itu, peniaga nasi campur, Lee Chong Ming, 52, mengakui semakin tersepit dengan kenaikan harga beras import dan kekurangan bekalan beras tempatan kini.
Lee berkata, sebelum ini dia menggunakan beras import namun harga makanan ruji itu semakin mahal.
“Dulu 10kg RM20 lebih, tapi sekarang boleh cecah RM30 hingga lebih RM40. Nak tukar beras tempatan tapi tak dapat cari stok. Kalau keadaan ini berterusan, saya pun tak tahu ada lagi untung atau tidak berniaga,” katanya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kekurangan beras putih tempatan di pasaran kerana berlaku pembelian panik.
Katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah itu termasuk melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan, bersama pengilang untuk pengeluaran tambahan 20% stok pengilang padi sebanyak 23,000 tan metrik sebulan bagi tempoh setahun.
Terdahulu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan memberitahu, harga beras putih import meningkat 36% iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.