
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang mewujudkan program bagi menyediakan latihan khusus kepada penjaga kanak-kanak, warga emas dan golongan berkeperluan khas.
Menterinya, Nancy Shukri, berkata KPWKM meminta peruntukan bagi pelaksanaan program yang dijangka bermula tahun depan itu.
Beliau berkata, terdapat keperluan bagi individu berkhidmat sebagai penjaga mendapatkan latihan dan mempunyai kemahiran bersesuaian kehendak pekerjaan.
“Kita ada banyak rumah orang tua, rumah (perlindungan/penjagaan) kanak-kanak dan macam-macam, terutama yang dikendalikan pihak swasta, kita nak pastikan negara kita mempunyai orang mahir dalam bidang ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Mengenai penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK), Nancy berkata, menerusi pertambahan 965 perjawatan kontrak bertugas di jabatan itu pada 2026, akan menurunkan nisbah pelindung dan pegawai akhlak daripada satu pegawai mengendalikan 108 kes (1:108) kepada seorang pegawai mengendalikan 30 kes kanak-kanak (1:30) setahun.
“Dengan itu, beban kes pegawai dapat dikurangkan dan pegawai dapat menumpukan masa memantapkan lagi pengurusan kes terhadap kanak-kanak, termasuklah elemen intervensi, pemantauan dan penilaian kes serta melaksanakan program pencegahan dan advokasi mengenai perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.
“Dengan pertambahan perjawatan dan peningkatan kompetensi, pegawai kes akan dapat memperkasakan lagi usaha menggerakkan komuniti melalui kolaboratif strategik dengan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) serta pembantu pelindung di semua 105 daerah yang dilantik di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dalam memberi perlindungan dan memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.”
Katanya, JPKK yang ditubuhkan berkuat kuasa 1 Sept lepas bagi menggantikan Bahagian Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas dan merupakan penyelesaian terbaik dalam menangani segera isu pengabaian serta penderaan kanak-kanak.
Beliau berkata, penubuhan JPKK juga dapat menjamin perkhidmatan berkualiti kepada rakyat, khususnya kanak-kanak berlandaskan lima teras utama, iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian dalam masyarakat.
‘KPWKM berharap dengan tertubuhnya JPKK, (ia) dapat menangani isu perlindungan dan kebajikan kanak-kanak lebih cepat, cekap dan proaktif serta kementerian akan menggerakkan PPKK, PKKK dan pembantu pelindung untuk membantu melaksanakan program pencegahan dan advokasi kepada masyarakat setempat.
“Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di bawah kendalian PPKK akan diperkasa dan menjadi hub perkhidmatan kanak-kanak, dengan kanak-kanak boleh mendapat bantuan dan pertolongan di PAKK tersebut.”