
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Samad daripada pertuduhan rasuah berhubung pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie berkata notis rayuan itu difailkan pada minggu lalu dan salinannya dipanjangkan kepada pihak pembelaan.
“Saya boleh mengesahkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di pendaftar Mahkamah Tinggi dan kami sudah dimaklumkan,” katanya kepada FMT.
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu pada tarikh yang ditetapkan selepas pengurusan kes.
Dalam keputusan pada 7 September lalu, Hakim Azhar Abdul Hamid berkata hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila mengarahkan pasangan itu membela diri.
Beliau berkata ia adalah satu ketidakadilan kerana tiada bukti Bung menerima wang melalui isterinya, yang dituduh bersubahat dengannya.
Bung, 65, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ketua Umno Sabah itu didakwa menerima suapan berkenaan daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Mokhtar, atas nama Zizie di lokasi sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, 44, menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kesalahan yang didakwa.