
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan pilihan raya kecil (PRK) DUN Jepak, Sarawak, pada Isnin depan.
SPR memaklumkan pihaknya telah menerima notis rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi itu daripada Speaker DUN Sarawak susulan kematian penyandangnya, Talib Zulpilip pada Jumaat lepas.
“Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut,” kata SPR dalam kenyataan.
Menurut SPR, mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Abdul Ghani Salleh itu akan menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRK tersebut, seperti hari penamaan calon dan hari pengundian.
Talib yang menjadi Adun Jepak selama enam penggal meninggal dunia dua hari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-72 pada 13 Sept.
Ketika PRN Sarawak pada 2021, Talib mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,243 undi dan menyumbang kepada kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS).