
GEORGE TOWN: Dua kumpulan perniagaan menyokong gesaan seorang bekas ketua menteri supaya zon kewangan khas (SFZ) diwujudkan di Pulau Pinang kerana dilihat mampu mengekang penghijrahan golongan berbakat di negeri itu.
Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) berkata, banyak bakat yang dihasilkan negeri itu berpindah ke Singapura disebabkan tawaran gaji lebih tinggi, selain manfaat lebih baik. Antaranya termasuk jurutera, akauntan dan ahli kimia yang berkaliber.
Presidennya Hong Yeam Wah berkata, kewujudan SFZ di Pulau Pinang akan memberikan negeri itu kelebihan saing selain berupaya mengekalkan bakatnya.
“Jika SFZ diwujudkan di Pulau Pinang, ini bukan saja mengekang bakat terbaik kita daripada berpindah, malah turut memacu ekonomi tempatan,” katanya kepada FMT
Beliau percaya kesan SFZ bersamaan ledakan perindustrian dicetus bekas ketua menteri, mendiang Dr Lim Chong Eu yang memacu ekonomi Pulau Pinang sehingga menjadi hab pembuatan utama negara hari ini.
Hong berkata, SFZ sewajarnya diiringi insentif supaya menjadi pusat pertumbuhan untuk rantau utara Semenanjung, selain membolehkan Pulau Pinang meraih semula keuntungan selepas kehilangan status bebas cukai pada 1970-an.
“Pengecualian cukai sahaja takkan mampu mencapai apa yang dicapai oleh pemain serantau lain seperti Indonesia, Thailand dan India,” katanya.
“Pulau Pinang mendapat manfaat daripada perang dagangan Amerika Syarikat-China apabila banyak syarikat teknologi bertapak di sini. Zon ekonomi khas akan menjadikan (negara) lebih menarik untuk syarikat berkenaan.
“SFZ juga akan menarik pemodal teroka, dan kita patut tawar geran berpadanan. Pulau Pinang patut menjadi pusat sehenti untuk menjalankan perniagaan dengan dunia.”
Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Forest City akan dijadikan SFZ, dengan dibantu beberapa insentif disediakan kerajaan.
Antara insentif berkenaan termasuk kadar cukai pendapatan khas 15% bagi pekerja mahir dan visa kemasukan berbilang.
Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kemudian turut mencadangkan Putrajaya mewujudkan SFZ di Pulau Pinang, memandangkan negeri itu hab pembuatan utama negara.
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia, Pulau Pinang turut menyokong cadangan Lim itu.
“Cadangan kadar cukai khas 15% dan visa kemasukan berbilang mampu menarik pekerja berkemahiran tinggi. Ia juga dapat menangani masalah penghijrahan golongan berbakat.
“Inisiatif ini pasti akan memacu pembangunan dan menggiatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan saja di rantau utara malah seluruh negara,” kata presidennya, S Parthiban.