
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Bentong, Amizar Abu Adam dalam PRK Pelangai pada 7 Okt ini.
Amizar bertanding di DUN Ketari pada PRU15.
PRK itu diadakan susulan kematian wakil rakyat Umno dan Exco Pahang, Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas dekat Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Penamaan calon bagi PRK Pelangai akan diadakan Sabtu ini dan pengundian awal ditetapkan 3 Okt nanti.
Pada PRU15, Johari memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.
Ketua Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengumumkan pencalonan Amizar berkata, PRK itu perlu digunakan untuk memecahkan “gelombang hijau” PN.
Di atas kertas, katanya, peluang BN kelihatan baik dengan 4,000 undi daripada BN dan kira-kira 2,000 lagi dijangka daripada PH. DUN Pelangai mempunyai kira-kira 16,400 pengundi.
“PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah menunjukkan perubahan dalam corak pengundian orang Melayu yang sering dikaitkan dengan gelombang hijau.
“Kemenangan di Pelangai akan menghentikan gelombang ini, jadi saya menggesa semua ahli parti keluar undi beramai-ramai.”
Dengan lebih 3,000 ahli Umno di Pelangai, beliau berharap sekurang-kurangnya 90% akan keluar mengundi 7 Okt ini.
Amizar yang juga anak jati Felda Chemomoi berkata, beliau berbesar hati untuk mempertahankan kerusi itu dan meneruskan legasi bekas Adunnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata ahli parti itu perlu menyokong calon dipilih pucuk pimpinan dan tidak mengamalkan “cah keting” kerana mereka membawa bendera parti, bukannya bertanding atas kapasiti individu.
“Jangan ada sengketa, sebaliknya kena muafakat supaya tidak kecundang, kekalkan rekod kita di Pelangai supaya terus menjadi kubu BN. Kita perlu memastikan majoriti dimenangi Johari dikekalkan atau lebih baik,” katanya menurut Bernama.