
PETALING JAYA: Seorang exco Terengganu membidas dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing semalam yang mengaitkan kenyataan perkauman Perikatan Nasional (PN) dengan kedatangan pelancong ke Malaysia.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Razali Idris berkata kenyataan Tiong itu tidak benar kerana mereka tidak pernah membangkitkan isu negatif dalam mempromosikan destinasi menarik di negeri itu kepada masyarakat dunia.
“Saya tak nampak timbul orang China tak suka ke Malaysia kerana (kehadiran) pelancong meningkat secara mendadak di Terengganu,” kata Razali kepada FMT mengulas kenyataan Tiong bahawa ada pelancong China mengadu keberatan ke Malaysia kerana kenyataan berbaur perkauman pemimpin PN.
Razali yang juga ketua penerangan Bersatu berkata Tiong tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana setiap negeri membantu memperkenalkan destinasi pelancongan di kawasan masing-masing.
“Terengganu contohnya buat promosi di China, Eropah dan Thailand, kita tak sebut pun pasal perkauman,” katanya yang dilantik sebagai exco pelancongan selepas PRN Terengganu Ogos lalu.
Semalam, Tiong pada sidang khas Dewan Rakyat menggesa pembangkang bekerjasama dengan kementeriannya, daripada terus memainkan sentimen perkauman yang akan menghalang kedatangan pelancong.
Beliau mendakwa ada aduan daripada pelancong China yang memberitahu mereka keberatan melawat Malaysia kerana mendengar kenyataan berbaur perkauman dibuat segelintir pemimpin PN
Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS turut menepis kenyataan Tiong kerana Malaysia masih aman tanpa krisis politik meruncing di sebalik tuduhan pihaknya memainkan isu perkauman.
“Kerajaan seharusnya perlu tingkatkan promosi dan daya tarikan,” kata timbalan presiden PAS itu.