
PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi migran menyuarakan kebimbangan berhubung kadar pantas kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini, terutamanya memandangkan ramai antara mereka terkandas sebaik tiba di sini.
Menurut Andy Hall, satu lagi perkara membimbangkan adalah bilangan rakyat Bangladesh yang datang ke Malaysia untuk bekerja jauh tinggi berbanding warganegara lain.
Sebuah akhbar Bangladesh melaporkan, memetik biro tenaga kerja, pekerjaan dan latihan negara itu, lebih 300,000 daripada 450,000 pekerja sah memasuki Malaysia sejak pasaran tenaga kerja dibuka semula pada Disember 2021.
Bangladeshi Business Standard juga melaporkan 120,000 pekerja dari negara itu dalam proses mendapat kelulusan untuk ke Malaysia.
Menurutnya, pada Ogos, Bangladesh merekodkan bilangan eksport tenaga kerja tertinggi dalam sebulan, dengan lebih 138,600 pekerja meninggalkan negara itu. Seramai 46,105 daripadanya menuju ke Malaysia.
“Amat membimbangkan apabila bilangan pekerja Bangladesh sebanyak itu menuju ke Malaysia kebelakangan ini. Bilangan ini jauh menjangkaui bilangan rakyat negara lain.
“Lebih 300,000 memasuki Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun. Kita tahu kebanyakannya terjebak dengan penghambaan moden akibat ikatan hutang disebabkan kos perekrutan yang terlampau tinggi,” katanya.
Hall berkata, pekerja Bangladesh membayar lebih USD6,000 (RM28,140) seorang, dengan kos perekrutan dibayar rakyat pelbagai negara kini meningkat mendadak.
Menurutnya, masalah pekerja Bangladesh dibawa masuk menerusi sindiket dan tidak memperoleh kerja juga masih belum selesai.
“Walaupun puncanya adalah majikan dan ejen palsu, kerajaan Bangladesh juga seolah-olah bersubahat kerana membiarkan sindiket berkenaan terus menjebak rakyatnya dalam penganiayaan dan ikatan hutang di Malaysia,” katanya.
Malaysia menandatangani perjanjian dengan Bangladesh pada 19 Dis 2021 untuk membuka semula pasaran tenaga kerja bagi pekerja asing selepas larangan selama tiga tahun setengah.
Dilaporkan bahawa mereka dikerah dalam sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan domestik.