
PETALING JAYA: Seorang warga asing ditemui maut dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ketam di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian, Lahad Datu hari ini.
Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, berkata pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit itu dibaham buaya ketika menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut terbabit.
“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui tertiarap di tepi pantai dekat Pos ATM Kampung Tanjung Batu pada 7.20 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa terdapat kesan gigitan di lengan kiri dan kepala, kesan calar di bahagian dada, belakang leher serta punggung.
“Polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat,” katanya sambil mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut atau sungai bagi mengelakkan ancaman reptilia itu.