
KUALA LUMPUR: Anggota Sekretariat Jawatankuasa Gerakan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin, berkata perhimpunan aman pada 16 Sept lalu sebenarnya satu “pertemuan tidak disengajakan”, bukan sengaja mahu berhimpun.
“Bagi pihak sekretariat saya mengumumkan bahawa pada hari tersebut (16 Sept) tiada perhimpunan dan tiada perarakan.
“Pada hari tersebut kami bersolat dan berdoa di masjid di Kampung Baru. Kemudian dari Kampung Baru, Tun Faisal Ismail Aziz (seorang lagi anggota sekretariat) pergi ke (balai polis) Dang Wangi dan nak berjalan sekali (bersama pengikut).
“Kami nak buat macam mana?,” kata Badrul, atau Chegubard selepas memberi keterangan berhubung perhimpunan itu di Balai Polis Dang Wangi.
Badrul juga mendakwa tiada ucapan dibuat dan apa yang berlaku pada hari itu adalah bagi “meraikan penyokong dan bercakap dengan media”.
“Tun Faisal selepas membuat laporan polis sudah tentu beliau mahu bercakap dengan media. Kerana media dan penyokong ramai jadi pakailah PA sistem. Jadi bagi saya tiada kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Badrul berkata, beliau juga membuat laporan terhadap Pejabat Peguam Negara dan polis kerana mendakwa siasatan terhadap peserta perhimpunan itu tidak mengikut undang-undang.
Badrul merujuk kes Nik Nazmi Nik Ahmad lawan Pendakwa Raya pada 2014 yang menunjukkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) adalah tidak berperlembagaan kerana bertentangan dengan hak untuk berhimpun dengan aman.
Bagaimanapun, semakan FMT mendapati satu lagi keputusan Mahkamah Rayuan pada 2015 memutuskan seksyen itu adalah “sah dan boleh dikuatkuasakan” dalam lingkungan Perlembagaan dalam kes melibatkan R Yuneswaran yang mengadakan perhimpunan “Blackout 505” secara haram pada 2013.
Menurut laporan The Malaysian Insider, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Raus Sharif menyatakan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) tidak bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Dengan demikian, Raus berkata, panel tersebut terpaksa berbeza dari keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya yang menyatakan bahawa Seksyen 9(5) adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada 2015 mengenai Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman masih kekal sebagai keputusan terkini hingga kini.