
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berhubung pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
Katanya, kenyataan Azalina kerajaan komited dalam usaha pengasingan kuasa itu bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara tidak berguna jika kedua-duanya tidak bebas dan dikawal.
Beliau memetik kenyataan Azalina sebelum menjadi menteri pada 27 Ogos tahun lalu, “siapa pun jadi perdana menteri, peguam negara mesti orang dia sebab jawatan itu dilantik oleh perdana menteri”.
“Masalahnya kalau tak bebas, sama saja. Saya bangkitkan benda ini sebab dengar semula (kenyataan) Azalina tahun lepas dengan (kenyataan Azalina semalam).
“Orang yang sama cakap di Parlimen dengan tahun lepas tentang reformasi institusi tetapi sebenarnya dia punya niat masih nak ‘control’ peguam negara,” kata bekas ketua Pemuda Umno dalam podcast Keluar Sekejap.
Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata ia adalah salah satu taktik pemimpin politik untuk alih perhatian dengan bercakap mengenai pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
Katanya, sedangkan jika tidak bebas, ia tidak mengubah apa-apa jika pengasingan kuasa dibuat.
Dalam perkembangan lain, Khairy tidak setuju dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meminta Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung peruntukannya ditarik selepas masuk ke blok pembangkang.
Beliau berkata, sepatutnya peruntukan Ahli Parlimen tidak kira dari parti mana diberi secara automatik jika betul-betul mahu melaksanakan reformasi institusi.
“Kenapa nak bincang dengan timbalan perdana menteri. Dia dah menang sebagai wakil rakyat. Tidak kisahlah dari PAS, Bersatu atau Warisan. Baru dapat reformasi institusi,” katanya.
Shahril turut setuju dengan pandangan Khairy dan berkata Anwar sepatutnya memberi peruntukan kepada pembangkang sama seperti dibuat bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.