
PETALING JAYA: Seorang warga Malaysia dipenjara 18 bulan di Amerika Syarikat kerana peranannya dalam pemerdagangan kira-kira 219kg sumbu badak dianggarkan bernilai USD2.1 juta (RM9.8 juta).
Hakim Daerah Paul A Crotty menjatuhkan hukuman itu terhadap Teo Boon Ching, 58, atau juga dikenali sebagai “Zhang”, “Dato Sri” dan “Godfather”, yang mengaku salah atas tuduhan bersubahat memperdagangkan hidupan liar.
Peguam bagi daerah selatan New York, Damian Williams berkata Teo diekstradisi dari Thailand, manakala beberapa tertuduh lain juga diekstradisi dari beberapa negara Afrika.
“Teo ahli sebuah kumpulan konspirasi jenayah transnasional yang terlibat dalam pemerdagangan berskala besar di peringkat antarabangsa serta penyeludupan sumbu badak untuk dijual kepada pembeli termasuk di Manhattan.
“Pemerdagangan spesies terancam atau terjejas melanggar beberapa undang-undang AS, selain triti antarabangsa.
“Ketika tempoh konspirasi itu dan perlakuan berkaitan, Teo bersubahat mengangkut, mengedar, menjual dan menyeludup sekurang-kurangnya kira-kira 219kg sumbu badak hasil pembunuhan badak sumbu dengan nilai dianggarkan USD2.1 juta,” kata Williams dalam kenyataan.
Katanya, Teo beberapa kali menemui ejen penguatkuasaan yang menyamar bagi merunding penjualan sumbu berkenaan, termasuk di Malaysia.
Teo berkata, dia bertindak sebagai orang tengah dan memaklumkan individu ditemuinya: “Asalkan kamu mempunyai wang tunai, saya boleh memberikan barangan ini dalam tempoh satu atau dua hari.”
“Pada Ogos 2019, sumber berkenaan, atas arahan pihak berkuasa, membeli 12 sumbu badak daripada Teo dengan wang dipercayai tertuduh adalah hasil pemerdagangan hidupan liar lain, yang berada dalam akaun bank di New York.
“Sumbu berkenaan dihantar menggunakan bagasi di Thailand oleh pihak yang bekerja untuk organisasi pemerdagangan hidupan liar,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan makmal forensik Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar AS menunjukkan dua objek adalah sumbu badak hitam, manakala 10 lagi sumbu badak putih.
“Teo ditahan di Thailand pada 29 Jun 2022, atas permintaan AS…sebelum diekstradisi ke AS pada 7 Okt 2022,” katanya.
Williams mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa atas peranan dimainkan dalam penangkapan dan ekstradisi Teo.