
PETALING JAYA: Ancaman bom diterima Bank Negara (BNM) adalah palsu, kata polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata ancaman bom itu diterima kakitangan BNM menerusi emel sekitar 3 petang.
Katanya, kakitangan itu kemudian membuat laporan polis dan sepasukan unit pemusnah bom dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Selepas membuat pembersihan dan pemeriksaan, kita dapati ia adalah palsu serta tiada ancaman bom seperti dilaporkan,” katanya menurut Astro Awani.
Beliau berkata, pihaknya kini menyiasat individu bertanggungjawab menghantar emel itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.