
PETALING JAYA: Seorang ketua pegawai eksekutif anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa berhubung melantik syarikat melakukan ubah suai dan bekalan perabot bernilai RM1.9 juta.
Dia didakwa menggunakan kedudukannya itu untuk melakukan pengubahsuaian berkenaan sedangkan kerja itu tidak dilaksana mengikut spesifikasi.
Sumber berkata, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada 6.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Suspek dipercayai menggunakan nama sebuah syarikat lain sedangkan kontraktor sebenar adalah syarikat milik suspek sendiri.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati suspek tidak membekalkan perabot dan pengubahsuaian gudang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam kontrak.
“Selain itu, sejumlah wang kira-kira RM300,000 dikesan dimasukkan ke dalam akaun suspek,” katanya menurut Harian Metro.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek sudah dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selepas keterangannya direkodkan.